Isnin, 25 September 2023

Penerangan Jelas Mengenai Hibah Takaful

Fahami dulu perbezaan antara hibah dan takaful

Sebelum kita pergi lebih dalam mengenai hibah takaful, penting untuk anda tahu mengenai maksud hibah dan juga maksud takaful untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.


Maksud Takaful

Takaful merupakan satu bentuk perlindungan insurans yang mengenakan konsep di mana semua pencarum akan mencarum pada setiap bulan ke dalam tabung.

Berbeza dengan perlindungan insurans konvensional, dana dalam tabung takaful ini hanya akan dilaburkan ke dalam pasaran saham yang mengikut syariah Islam sahaja. Malah, berbanding insurans konvensional, perlindungan takaful bebas daripada tiga unsur yang dilarang oleh Islam iaitu bebas dari unsur riba’, gharar (ragu-ragu) dan juga masyir judi.

Disebabkan ketiadaan unsur-unsur tersebut di dalam takaful, maka umat Islam yang ingin mendapatkan perlindungan insurans disarankan untuk memilih Takaful berbanding insurans konvensional yang secara dasarnya masih mempunyai tiga unsur yang dinyatakan.


Maksud Hibah

Berbeza dengan takaful, hibah bukanlah satu produk, namun ia adalah satu kaedah bagaimana harta itu diagihkan.

Untuk memudahkan pemahaman anda, hibah bermaksud pemberian sesuatu yang dilakukan oleh si pemberi kepada penerima secara sukarela.

Pemberian hibah ini boleh dalam apa jua bentuk sekali pun sama ada rumah, wang atau lain-lain asalkan ia memenuhi syarat dan memenuhi nilai di sisi syarak. Dalam kata mudah, hibah juga boleh membawa maksud sebagai ‘hadiah’ oleh pemberi kepada penerima ketika hayatnya.


Maksud Hibah Takaful

Hibah Takaful mula diperkenalkan di dalam industri Takaful selepas kewujudan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Melalui hibah Takaful, waris tidak lagi perlu melalui proses faraid dan kesemua wang pampasan tersebut menjadi milik sesiapa yang dikehendaki secara terus tanpa mengharapkan sebarang balasan semasa hidup.

Bagaimanapun, manfaat hibah hanya akan diperoleh oleh penerima setelah pemberinya meninggal dunia.


Pandangan Perundangan Syariah mengenai hibah takaful

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada 2007 telah mengeluarkan sebuah resolusi, di mana resolusi tersebut membenarkan manfaat Takaful dihibahkan kepada penama sebagai benefisiari tunggal.

Seterusnya, resolusi Bank Negara Malaysia tersebut diperkemaskan lagi dengan oleh Akta Kewangan Islam 2013.

Dalam perenggan 3(2), Jadual 10 dalam IFSA 2013, ia berkata bahawa manfaat takaful yang diterima tersebut akan menjadi milik penerima hibah secara mutlak.

Kesannya adalah pemberian (hibah) ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana ahli waris si mati (peserta takaful) kerana manfaat tersebut telah dipindah milik kepada penama dan proses penamaan telah berlaku ketika hayat peserta takaful. 

Sumber : https://bjak.my/blog/5-kelebihan-hibah-takaful-yang-anda-kena-tahu/

Sebelumnya : Penyelesaian kepada isu Gharar, Maisir & Riba

Seterusnya : Penerangan Jelas Mengenai Hibah Takaful 2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan